Jumaat, 31 Mei 2013

Nafsu rahsia

Nafsu itu bersahaja 
Mengerti segala 
Mencongak prasangka 

Seolahnya ia tahu 
Sebelum mendahulu 
Nafas seorang pelaku 

Jelmaan kala mengatur niat 
Serakah tersirat 

Kuasanya hitam bila hati malam 
Setaranya putih bila hati jernih 

Terpulang empunya diri 
Jangan biar menguasai 
Jangan biar bersembunyi 

Biarlah bermusuh dengan seteru 
Asal jangan dengan guru 
 Kelak hidup haru biru 

Kerana nafsu itu tidak boleh dipercaya 
Kerana nafsu itu tidak boleh diduga 
Kerana nafsu itu nafsu rahsia... 


-Malim Muda-

Selasa, 7 Mei 2013

Bersatulah

Bersatulah Melayu 
Kalau nampak ada retak 
Kerana retak hujungnya belah 
Bimbang belah membawa pecah 
Melayu itu tak mampu berpecah 

Bersatulah Melayu 
Melayu itu cermin 
Dalam jernihnya kita menilik 
Kita menilik mencari wajah 
Wajah Melayu wajah kita 

Bersatulah Melayu 
Melayu itu lampu 
Terangi jalan luas terbentang 
Siapa cuba kaburkan suluh 
Kelak hilang arah dan tuju

Bersatulah Melayu 
Melayu itu payung 
Payung jangan carik 
Carik payung 
Manakan lagi tempat berlindung 

Bersatulah Melayu 
Melayu itu pohon 
Akarnya mencengkam bumi 
Bumi ini pautan kasih 
Kasih Melayu segala kasih 

Bersatulah Melayu 
Cari dan rangkalah jalan damai 
Damai membuka pintu pertemuan 
Pertemuan kelak merintis padu 
Berpadulah Melayu, berpadu semua 


-Lim Swee Tin, UPM 2008-

Perjuangan

Fikirkan masa depan mendatang 
Renungkan masa yang terpandang 
Insafkan hati-hati yang bercabang 

Bersatulah sebelum terlentang 
Ingatlah sejarah belakang 
Jangan undur sebelum pantang 

Kerana perjuangan kita masih lagi panjang..


-Malim Muda-

Pertandingan

Kali ini 
di tepi kali 
di tepi perigi 

Ramai yg dtg menyaksi 
pertandingan tarik tali 
kekuatan hati kumpulan sendiri 

Ada yg menjerit berkali2 
ada yg berdiri 
ada yg berlari 
ada yg memerhati
ada pula yg menyanyi 
tidak lupa ada juga yg menyendiri 

Pertandingan kali ini menjadi penanti 
menjadi pengganti 
antara dua gergasi 

Menang, kalah atau seri 
Suatu transformasi atau reformasi?


-Malim Muda-