Selasa, 6 Ogos 2013

aidilfitri ini

aidilfitri ini 
laungan takbir bergema 
mendayu syahdu di jiwa 
membuka sinar hari mulia 

aidilfitri ini 
takbir erti ketenangan 
tanda kesyukuran hari kemenangan 
hari lebaran yang dinantikan 

aidilfitri ini 
saling berkunjungan bersalaman 
mengeratkan silaturahim ikatan 
melupakan segala perselisihan 
memaaf ampun kesalahan 

aidilfitri ini 
buat saudara yang kejauhan 
hati dalam kenangan 
rindu dipertemukan 
andainya tidak sempat 
setidaknya masih dapat diucap 
tulus hati memohon maaf 
atas segala dosa dan khilaf 

aidilfitri ini 
yang pulang kampung halaman 
berhati memandu diperjalanan
jangan hilang pertimbangan 
kelak nyawa jadi taruhan 
biar buat peringatan 
tiada berguna akhir sesalan 

aidilfitri ini 
bagi insan penuh kekurangan 
yang merayu dalam pandangan 
yang mengharap dalam pengertian 
hulurkan bantuan ringankan beban 

aidilfitri ini 
ramadan cepat meninggalkan 
bulan penuh keberkatan 
bulan penuh pengorbanan 
buat jiwa yang insan 
mengulit penghayatan kesucian
moga diterima rukun amalan 
harap berkesempatan 
menunggu kedatangan ramadan tahun hadapan 

aidilfitri ini 
yang telah pergi mendahului 
doa dibekal menemani 
moga diberkati dirahmati 
agar tempatnya berseri 
hingga kekal abadi 

aidilfitri ini 
dengan rasa rendah diri 
dari tulus hati seikhlas budi 
hujung jari melingkar ke sanubari 
ucapan salam aidilfitri 
maaf zahir dan batin dari hati



-Malim Muda-

0 comments: