Sabtu, 31 Disember 2011

2012

Esok bermula buku lipatan baru
Yang penuh dengan merah, hijau dan biru

Yang menjadi penentu hingga ke tahun lagi satu
Pasti penuh berliku dan menderu

Kesalahan yang lepas biarkan berlalu
Menjadi pengajaran di masa lalu

Peganglah hulu masa memburu
Supaya tidak buntu, tidak terkeliru

Perjalanan hadapan di ambil tahu
Supaya sampai ke tempat yang dituju

Penuh cabaran yang makin merayu
Dalam Tahun 2012 yang satu



-Malim Muda-

Rabu, 21 Disember 2011

Melayu itu

Melayu itu orang yang bijaksana
Melayu itu bermanis muka
Melayu itu ansur tolaknya
Melayu itu taat setia
Melayu itu sabar hatinya
Melayu itu rendah dirinya
Melayu itu beralas katanya
Melayu itu kaya adatnya
Melayu itu tinggi budayanya

Tetapi ada juga
Melayu yang masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri

Melayukah kita?
Jika suka berhimpun dan berdansa
Jika suka bersidang dan mencerca

Jika Melayu hanya sekadar nama
Hingga mereka tersenyum bertanya, itukah Melayu yang berbudi bahasa?

Jadilah Melayu yang memegang tali, yang memegang timba
Melayu yang menjadi tuan di negara merdeka..



-Malim Muda-

Selasa, 13 Disember 2011

7 Wasiat Raja-Raja Melayu


Wasiat Raja-Raja Melayu dan Pemimpin-pemimpin yanbg diperbuat semasa merdeka pada tanggal 31 Ogos, 1957;


"Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami 7 perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera".

Adalah 7 perkara tersebut ialah;


1. Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung ini adalah Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).

2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50%, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami telah tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.

4. Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini.

5. Kami isytiharkan Islam ialah Agama Persekutuan.

6. Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu; dan

7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Kepentingan Sah Kaum-Kaum Lain. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).


DAULAT TUANKU. PATIK MENJUNJUNG TITAH TUANKU

Khamis, 8 Disember 2011

berkoban

berkorban rasa sifat mulia
berkorban akhirat dan dunia

berkorban harta kerana jalannya
berkorban masa kerana berkatnya

berkorban raga rela binasa
berkorban nyawa tanda kasihnya

biarpun jiwa akan terseksa
ikhlas dan rela asalkan bahagia..



-Malim Muda-

Jumaat, 2 Disember 2011

iman

perjalanan iman itu
dari lidah ke hati, hanya sejengkal

kewujudan iman itu
dari tempatnya, tidak pernah dikenal

kelansungan iman itu
dari dalam,ada kala dipintal

kedudukan iman itu
dari akal, sering dipersoal

bukankah kehidupan iman itu
dari pintu langit ke pintu terbit
itu yang kekal, itu dibawa bekal?



-Malim Muda-

Selasa, 29 November 2011

hijrah

aku masih lagi berdiri
tertinggal di sini
sedangkan di sisi
ramai orang sudah berlari

merenung dalam diri
muhasabah diri
mencari jati diri

menghitung dosa hati
ditenggelami keegoan manusiawi

kerana kejahatan gelap
roh islamku kian malap

mencari arah hidup
yang lurus dan redup

mengejar cinta Ilahi
demi kembara suci
hijrah ke negeri abadi


-Malim Muda-

Isnin, 14 November 2011

maaf

maaf...
ada kalanya terlalu sukar
ada kalanya selalu gagal
untuk dilafaz dan dibalas

kerana kita merasakan
tiada nilai padanya

maaf...
ada kalanya hanya melunakkan bicara
ada kalanya cuma ucapan tanpa makna
yang tidak merasa apa-apa

maaf
jika datang dari jiwa
dapat melembut deria rasa

maaf
jika lahir dari ikhlas
dapat melembut akal yang lemas

maaf
jika terbitnya dari hati
dapat melembut dalam diri

maaf
rahsia kata yang bernyawa
rahsia jiwa yang bercahaya
rahsia milik padaNya…


-Malim Muda-

Khamis, 10 November 2011

hak berfikir

bukan kerana kita tidak tahu
bukan kerana kita tak ambil mahu

dulu itu yang disuruh
tapi kita selelau mengeruh

dulu itu yang ditunjuk ajar
tapi kita selalu kurang ajar

fikir sebelum bicara
atau mungkin akan kena

fikir sebelum niat
atau mungkin jadi jahat

fikir sebelum buat
atau mungkin jadi melarat

hak itu memang ada
bernyawa dan dewasa
hak fikiran akal bersuara


-Malim Muda-

Jumaat, 4 November 2011

pengorbanan

jelajahilah pengorbanan ini
demi suatu yang dijanji
syukur diri redha Ilahi

mengenal hati peribadi
tunduk menyesal diri
doa memohon mencari

susun jiwamu dalam pengosongan
luhur hatimu dalam perjuangan

demi sebuah keberkatan
demi sebuah keinsafan
hari pergorbanan..


-Malim Muda-

*Salam Aidiladha 1433 Hijrah

Khamis, 3 November 2011

mulia

mulia itu bukan kuasa
mulia itu tidak ternilai harga
mulia itu lahir pada niat
mulia itu tinggi darjat

mulia itu perasaan ikhlas
mulia itu tidak berbalas
mulia itu kerja jujur
mulia itu suci luhur

mulia itu terletak pada hati
mulia itu sifat peribadi


-Malim Muda-

Jumaat, 21 Oktober 2011

budi

budi itu berseri bila ianya dirahmati
budi itu bererti bila ianya dihargai

budi itu dikenang bila ianya menyenang
budi itu dibalas bila ianya ikhlas

budi itu hidup bila ianya tertutup
budi itu bersambung bila ianya dikandung

budi itu berbudi bila ianya lahir dalam hati


-Malim Muda-

Isnin, 17 Oktober 2011

laut jawi


laut itu bukan sebarang
berkurun berzaman
menyimpan warisan

airnya pasang, luas terbentang
ombaknya jarang, luas memandang

pejuangnya dalam ingatan
pahlawannya jadi sebutan
panglimanya guru ikutan

satu warna kulitnya
lembut sifat bangsanya
islam adat budayanya

laut itu tetap berbunyi
laut itu hidup tak mati
laut itu laut jawi
laut melayu sejati


-Malim Muda-

Khamis, 6 Oktober 2011

sesat

sesat itu datang
bila ada yang tak melarang

sesat itu masuk
bila ada yang pandai menggosok

sesat itu berakal
bila ada yang fikiran dangkal

sesat itu terikat
bila ada yang terjerat

sesat itu kotor
bila semua sudah bercampur

sesat itu makin berat
lari dari hakikat
dan jalan makrifat...



-Malim Muda-


Jumaat, 30 September 2011

sifat hatinya

hatinya lembut, patuh mengikut
hatinya baik, katanya berlapik

hatinya kecil, malunya kerdil
hatinya kuat, jiwanya semangat

hatinya jujur, niatnya luhur
hatinya ikhlas, bukan dibalas

hatinya hidup, hatinya sanggup
umpama pohon rendang yang redup..


-Malim Muda-

Rabu, 21 September 2011

karma

karma bentuk hukuman dalam kehidupan
karma membalas pembalasan atas perbuatan


karma mengimbangi kesalahan juga kesilapan
karma menuntut keadilan dan kesamarataan

karma menukar kejahatan dan kepalsuan
karma satu hukum dunia yang berzaman


-Malim Muda-

Isnin, 19 September 2011

konflik

konflik itu satu permulaan
konflik itu pencetus kekalutan
konflik itu menuntut perubahan

yang mengundang kecelaruan
yang melahirkan persengketaan
yang menunjukkan perasaan

konflik itu satu perjuangan
yang menegakkan keadilan
yang membebaskan kekotoran


-Malim Muda-

Rabu, 14 September 2011

mungkin

mungkin penguasa it terus di singgahsana
mungkin bentara itu perlu dipelihara
mungkin pengembala itu perlu dibela
mungkin pengajar itu perlu diajar semula
mungkin penjuak itu perlu disamarata
mungkin pejuang itu perlu ditamatkan 'nyawanya'..



-Malim Muda-

Isnin, 12 September 2011

orang atas

yang menurut hanya mengikut
yang mengikut jadi merintih


yang merintih terus letih
yang letih jadi malas


yang malas terus rimas
yang rimas mahu lepas


yang lepas tersenyum puas
yang puas hanya orang atas




-Malim Muda-

Jumaat, 26 Ogos 2011

pantun iv

Tangan dihulur maaf dipinta
Semurni hati seikhlas kata
Aidilfitri ini tambah ceria
Menanti hadir teman dan saudara

Rabu, 24 Ogos 2011

pantun raya iii

Berbilang kaum hidup bersama
Bersopan-santun amatlah mesra
Tak kira bangsa juga agama
Aidilfitri disambut dengan gembira

Selasa, 23 Ogos 2011

pantun raya ii

Burung serunai di tepi paya
Pukullah tabuh di tengah anjung
Sampailah masa berhari raya
Bermaafan –maafan kunjung mengunjung

Isnin, 22 Ogos 2011

pantun raya

Berlabuh mentari di kaki Ramadhan
Takbir Syawal menggema alam
Salam dihulur saling bermaafan
Aidilfitri dirai keinsafan bersulam

Jumaat, 19 Ogos 2011

jiwa

Jiwa bersih
bila dalam hati selalu suci

Jiwa suci
bila dalam hati selalu tenang

Jiwa tenang
bila selalu ingat pada Yang Memandang..


-Malim Muda-

Jumaat, 12 Ogos 2011

rendah diri

rendah diri dari mata turun ke hati
rendah diri duduk hingga berdiri


rendah diri pegang dan kunci
rendah diri tunduk ke bumi


rendah diri untuk Ilahi..


-Malim Muda-

Selasa, 9 Ogos 2011

ikhlas

ikhlas dalam perjuangan
di hujung garisan menanti kejayaan

ikhlas dalam persaudaraan
nama di sebut jadi ingatan

ikhlas dalam kehidupan
berkat dan rahmat tuhan kurniakan

ikhlas dengan ehsan belas
insyallah di sana nanti pasti dibalas


-Malim Muda-

Isnin, 8 Ogos 2011

sabar

sabar itu separuh iman
umpama bunga di dalam taman

sabar itu ikatan nafsu
seperti jiwa di dalam kalbu

sabar itu adalah insan.
tunduk malu kepada tuhan..


-Malim Muda-

Jumaat, 29 Julai 2011

puasa

puasa itu berkelana
menahan rasa
mengunci deria

puasa itu ibadah
fitrah bersedekah
bersujud di sejadah

puasa itu pemula
menyubur pahala
menyuci dosa

puasa itu rahmat dariNya
ujian untuk manusia
menginsafi sesama


* Salam Ramadhan 1432H


-Malim Muda-

Isnin, 25 Julai 2011

jujur

jujur dalam hati,
hidup bahagia dalam diri

jujur dalam niat,
rezeki penuh dalam berkat

jujur dalam kata,

jadi orang yang dipercaya

jujr dalam berbudi,
jadi orang yang diingati..


-Malim Muda-

Khamis, 21 Julai 2011

sulit

kerja itu sulit
kerja itu membelit
kerja itu bukan sedikit

barang itu duit
yang beringgit
dan menggigit

sulit ini boleh meleret
hingga yang berwirid
boleh menjerit



-Malim Muda-

Khamis, 14 Julai 2011

buta

buta jiwa hati
tidak sedar diri
berdiri dan berlari

buta warna bangsa
tidak sedar apa-apa
tidak insaf sejarah lama

buta rukun negara
melanggar apa sahaja
asal dapat apa diminta

buta insan agama
mendabik dada menarik muka
orang sesama tidak dikira
terus sesat ke jalan penjara



-Malim Muda-

Isnin, 11 Julai 2011

tidur

orang kuning itu tidur
mengeruk dan berdengkur

kerna dibuai mimpi
diulit janji-janji

begitu lena sekali
hingga dikejut
tak upaya celik mata lagi

mimpi itu tak semuanya indah
janji itu semakin terbelah

bangunlah semua
mimpi itu mengaburi mata
janji itu menyembunyi rasa
perjuangan yang sia-sia..



-Malim Muda-

Jumaat, 8 Julai 2011

himpun

marilah kita berhimpun
membawa bangsa serumpun

marilah kita berhimpun
berbalas ‘pantun’
dengan orang yang santun

marilah berhimpun
bergasak seronok menyanyi
sampai tak larat diri

marilah berhimpun
supaya mendapat tempat
di jiwa, hati rakyat

marilah berhimpun
tapi aku tak ingin
kerana aku masih lagi waras untuk naik angin..



-Malim Muda-

Rabu, 6 Julai 2011

komplot

komplot itu muslihat
penuh dengan tarikat
berunsur jahat

komplot itu sulit
berbelit-belit
dan perit

komplot itu direka-reka
tidak sengaja dan disengaja
untuk mengaburi mata
untuk menarik harta

komplot itu dicipta
untuk menutup kuasa
salah satu darinya
unik dan penuh rahsia



-Malim Muda-

Selasa, 5 Julai 2011

hilang

ianya tidak disedari
ianya tidak diingati

perlahan-lahan ia menarik diri
mungkin ia berasa bosan
dan merajuk hati

kita tidak ketahuan
sama ada ia tidak disengajakan

mengapa ia hilang
satu persoalan

satu kemusykilan
yang sentiasa
berlegar di dalam fikiran..


-Malim Muda-

Isnin, 4 Julai 2011

sesat

sesat dalam iman
bila keliru kiblat pegangan

sesat dalam dunia
bila keseronokan dipuja-puja


sesat dalam agama
bila bergelumang dengan dosa

sesat dalam kehidupan
bila tiada rasa keinsafan

sesat dalam perjalanan
bila putus tali garisan..



-Malim Muda-

Jumaat, 1 Julai 2011

Berserah

Berserah lah bila berbalah
Sebelum jiwa kian marah

Berserah lah bila kalah
Sebelum hati mula berdarah

Berserah lah bila lemah
Sebelum badan jadi parah

Berserah lah bila resah
Sebelum jadi timbul gelisah

Berserah lah bila lelah
Sebelum naik jadi parah

Berserah lah bila bersalah
Sebelum jadi makin susah

Mungkin ada natijah
Mungkin ada hikmah
PadaNya kita berserah


-Malim Muda-

Rabu, 29 Jun 2011

tanggung

tanggung itu yang diutama
tanggung itu wajib agama
setiap hari, setiap masa

tanggung itu satu amanah
tanggung itu bukannya helah
berserah bila bersalah

tanggung itu tanggung berat
tanggung itu tanggung syariat
disoal dijawab diakhirat



-Malim Muda-

Selasa, 28 Jun 2011

hidup

hidup tidak beruntung
bagi yang tidak bersyukur
sombong dan takbur

hidup tidak berlorong
bagi yang tidak menyedari
kesesatan yang azali

hidup tidak bergantung
bagi yang berdikari
berdiri di atas kaki sendiri

hidup tidak disanjung
bagi yang merendah diri
dan jujur pada dunia ini



-Malim Muda-

Isnin, 27 Jun 2011

hitam putih

Hitam
Warnya gelap
Dalamnya malap
Sifatnya sekejap-sekejap

Putih
Warnya suci
Dalamnya sinari
Sifatnya berbudi

Ketahuilah keduanya
Saling memerlukan
Dalam kehidupan
Seorang insan..



-Malim Muda-

Jumaat, 24 Jun 2011

orang kesukaan

siapakah dibelakangnya
mengatur semua susunan

siapakah dalangnya
mengabur mata utusan

biar sedikit-sedikit
jangan ada yang menganggap pelik

biar perlahan-lahan
jangan ada yang perasan

maruah boleh diubah-ubah
asalkan ada yang boleh bersalah

amanat boleh juga khianat
bila jarang sekali bersahabat

mungkin mereka suka menyakat
membiarkan terus menyesat
dan terus melarat..


-Malim Muda-

Khamis, 23 Jun 2011

mimpi

Mimpi itu datang lagi
Angan itu menjelma kembali

Memancing habuan
Menarik perhatian

Menayang kepalsuan
Menanam keseronokan
Hingga mengambang bulan

Hak ini semuanya mengarut
Harus mengelak sebelum terikut

Peganglah tangan yang memeluk
Ikutlah haluan bawah telunjuk..



-Malim Muda-

Rabu, 22 Jun 2011

nafsu

nafsu itu bernyawa
nafsu itu boleh berkata

menggoda, mengusik
menurut meleret

menggoda hati
seakan sendiri

kawallah nafsu
sebelum ia mula menderu

sabarlah nafsu
sebelum ia mula mengadu

sebelum terlanjur, eloklah berlunjur
sebelum hanyut, eloklah bersujud

garisan jalan masih belum putus
pangkal jalan masih belum lupus
untuk menemui pegangan yang mulus



-Malim Muda-

Selasa, 21 Jun 2011

ikhlas

hati yang murni
sanubari yang suci

dalamnya putih
jiwanya bersih

budinya digemari
sangkanya dipercayai

tetapi dirinya punya kelemahan
yang bukan dibanggakan

kesepian, keseorangan
dalam perjuangan
meneruskan kehidupan

biarlah semua itu
hiraukan orang-orang itu
asalkan tuhan di sana yang lebih tahu…



-Malim Muda-

Isnin, 20 Jun 2011

dosa

dosa
bentuk hukuman
dunia kejadian

sengaja atau tidak sengaja
bercampur dengan pahala

untuk hidup berdikari
dalam sandiwara dunia ini
dosa tidak pernah lepas lari

seringkali mencari
berfikir berulangkali
apakah sebenar kehidupan ini

besarkah sesalan?
cukupkah tangisan?
untuk menghadap tuhan


-Malim Muda-

Ahad, 19 Jun 2011

menipu

Menipu itu daya
Menipu itu kuasa
Menipu itu titik noda

Menipu itu satu dosa
Bila menipu berpura baik

Menipu itu satu pahala
Bila menipu berpura jahat

Menipu itu berkat
Bila menipu untuk kebaikan

Menipu itu lahanat
Bila menipu untuk kepentingan

Biarlah menjadi orang yang tiada apa-apa
Dari menjadi orang yang dihina



-Malim Muda-

Jumaat, 17 Jun 2011

gurindam yang keduabelas

betul hati kepada raja
tanda jadi sebarang kerja

hukum adil atas rakyat

tanda raja beroleh inayat

kasihkan orang yang berilmu

tanda rahmat atas dirimu

hormat akan orang yang pandai

tanda mengenal kasa dan cindai

ingatkan dirinya mati

itulah asal berbuat bakti

akhirat itu terlalu nyata

kepada hati yang tidak buta


-Raja Ali Haji-

Khamis, 16 Jun 2011

gurindam yang kesebelas

hendaklah jadi kepala
buang perangai yang cela

hendak memegang amanat
buanglah khianat

hendak marah
dahulukan hujjah

hendak dimalui
jangan memalui

hendak ramai
murahkan perangai



-Raja Ali Haji-

Rabu, 15 Jun 2011

hingga tiba saat itu

Lihatlah diri ini
Hanya ruang yang sepi
Kekosongan tiada berseri


Bagai pelaut usang
Yang dipukul gelombang
Itu bagiku pengalaman


Laut yang tak bertepi
Begitu nasib diri
Ku terumbang ambing diri


Tak kuasa berteman
Mencari keriangan
Bimbang diri kecundangan

Beronak berliku pendakian hidup ini
Terjatuh ke lumpur
Ditertawa dicaci

Sewaktu dipuncak
Banyak mata memandang

Namaku disebut dipuji dijulang
Siapa kawan
Siapa lawan

Tipisnya garis perbezaan
Lantaran itu kau maafkanlah aku
Sukar mempercayaimu

Mungkin suatu hari akan terbuka hati
Kekosongan akan terisi
Tapi ku rasa ragu
Sanggupkah kau menunggu hingga saat itu


-Jamal Abdillah-

gurindam yang kesepuluh

dengan ibu hendaklah hormat
supaya badan dapat selamat

dengan anak janganlah lalai
supaya boleh naik ke tengah balai

dengan isteri dan gundik janganlah alpa
supaya kemaluan jangan menerpa

dengan kawan hendaklah adil
supaya tangannya jadi kapil


-Raja Ali Haji-

Selasa, 14 Jun 2011

bulan mengambang

Bintang terang bulan mengambang
Sayalah duduk dimuka pintu
Bintang terang bulan mengambang
Sayalah duduk dimuka pintu

Bila terpandang wajahmu tuan
Sedikit tidak menaruh jemu
Bila terpandang wajahmu tuan
Sedikit tidak menaruh jemu

Bulan hilang diliputi awan
Hujan pun turun berintik-rintik
Bulan hilang diliputi awan
Hujan pun turun berintik-rintik

Oh la Tuhan Yang Maha Kaya
Kenapa nasibku jadi begini
Oh la Tuhan Yang Maha Kaya
Kenapa nasibku jadi begini

Kalau ku tahu begini punya seksa
Dari lah hidup baik ku mati
Kalau ku tahu begini punya seksa
Dari lah hidup baik ku mati



-P.Ramlee

gurindam yang kesembilan

kejahatan seorang perempuan tua
itulah iblis punya penggawa

kepada segala hamba-hamba raja
di situlah syaitan tempatnya manja

kebanyakan orang yang muda-muda
di situlah syaitan tempat bergoda

perkumpulan laki-laki dengan perempuan
di situlah syaitan punya jamuan

adapun orang tua yang hemat
syaitan tak suka membuat sahabat

jika orang muda kuat berguru
dengan syaitan jadi berseteru


-Raja Ali Haji-

Isnin, 13 Jun 2011

sabar

Beginikah derita hai orang yang sabar
Dituduh berdusta walaupun bercakap benar
Nama ku dicemar mana ku pergi orang tak gemar
Iman ku takkan bertukar dari menipu biar terlantar

Mengapakah dunia hai penuh tipu daya
Dosa dan maksiat itulah yang diutama
Si jujur menjadi mangsa pandai menipu lekas berharta
Biarlah aku hidup merana, aku tak rela hidup berdusta

Di mana keadilan yang aku harap-harapkan
Mengapa kezaliman menjadi balasan
Yang lemah ditekan yang berharta jadi sanjungan
Padamu oh tuhan aku serahkan tetapkan iman



-P.Ramlee-

gurindam yang kelapan

Barang siapa khianat akan dirinya,
apalagi kepada lainnya

Kepada dirinya ia aniaya,
orang itu jangan engkau percaya

Lidah suka membenarkan dirinya,
daripada yang lain dapat kesalahannya

Daripada memuji diri hendaklah sabar,
biar daripada orang datangnya khabar

Orang yang suka menampakkan jasa,
setengah daripada syirik mengaku kuasa

Kejahatan diri sembunyikan,
kebajikan diri diamkan

Keaiban orang jangan dibuka,
keaiban diri hendaklah sangka


-Raja Ali Haji-

Ahad, 12 Jun 2011

gurindam yang ketujuh

Apabila banyak berkata-kata,
di situlah jalan masuk dusta

Apabila banyak berlebih-lebihan suka,

itulah tanda hampirkan duka

Apabila kita kurang siasat,

itulah tanda pekerjaan hendak sesat

Apabila anak tidak dilatih,

jika besar bapanya letih

Apabila banyak mencacat orang,

itulah tanda dirinya kurang

Apabila orang yang banyak tidur,

sia-sia sahajalah umur

Apabila mendengar akan khabar,

menerimanya itu hendaklah sabar

Apabila mendengar akan aduan,

membicarakannya itu hendaklah cemburuan

Apabila perkataan yang lemah lembut,

lekaslah segala orang mengikut

Apabila perkataan yang amat kasar,

lekaslah orang sekalian gusar

Apabila pekerjaan yang amat benar,

tiada boleh orang berbuat onar


-Raja Ali Haji-

Sabtu, 11 Jun 2011

gurindam yang keenam

Cari olehmu akan sahabat,
yang boleh dijadikan ubat

Cari olehmu akan guru,
yang boleh tahukan setiap seteru

Cari olehmu akan isteri,
yang boleh menyerahkan diri

Cari olehmu akan kawan,
pilih segala orang yang setiawan

Cari olehmu akan abdi,
yang ada baik sedikit budi


-Raja Ali Haji-

Jumaat, 10 Jun 2011

gurindam yang kelima

jika hendak mengenal orang berbangsa,
lihat kepada budi dan bahasa,
jika hendak mengenal orang yang berbahagia,
sangat memeliharakan yang sia-sia.

jika hendak mengenal orang mulia,
lihatlah kepada kelakuan dia.
jika hendak mengenal orang yang berilmu,
bertanya dan belajar tiadalah jemu.

jika hendak mengenal orang yang berakal,
di dalam dunia mengambil bekal.
jika hendak mengenal orang yang baik perangai,
lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai
-Raja Ali Haji-

Khamis, 9 Jun 2011

gurindam yang keempat

Hati kerajaan di dalam tubuh,
jikalau zalim segala anggota pun roboh.
Apabila dengki sudah bertanah,
datanglah daripadanya beberapa anak panah.

Mengumpat dan memuji hendaklah fikir,
di situlah banyak orang yang tergelincir.
Pekerjaan marah jangan dibela,
nanti hilang akal di kepala.

Jika sedikitpun berbuat bohong,
boleh diumpamakan mulutnya itu pekong.
Tanda orang yang amat celaka,
aib dirinya tiada ia sangka.

Bakhil jangan diberi singgah,
itupun perompak yang amat gagah.
Barang siapa yang sudah besar,
janganlah kelakuannya membuat kasar.

Barang siapa perkataan kotor,
mulutnya itu umpama ketur.
Di mana tahu salah diri,
jika tidak orang lain yang berperi.



-Raja Ali Haji-

Selasa, 7 Jun 2011

gurindam yang ketiga

Apabila terpelihara mata,
sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
khabar yang jahat tiadalah damping.

Apabila terpelihara lidah,
nescaya dapat daripadanya faedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
daripada segala berat dan ringan.

Apabila perut terlalu penuh,
keluarlah fi'il yang tiada senonoh.
Anggota tengah hendaklah ingat,
di situlah banyak orang yang hilang semangat

Hendaklah peliharakan kaki,
daripada berjalan yang membawa rugi.


-Raja Ali Haji-

Ahad, 5 Jun 2011

gurindam yang kedua

Barang siapa mengenal yang tersebut,
tahulah ia makna takut.

Barang siapa meninggalkan sembahyang,
seperti rumah tiada bertiang.


Barang siapa meninggalkan puasa,
tidaklah mendapat dua temasya.

Barang siapa meninggalkan zakat,
tiadalah hartanya beroleh berkat.


Barang siapa meninggalkan haji,
tiadalah ia menyempurnakan janji.



-Raja Ali Haji-

gurindam yang pertama

Barang siapa tiada memegang agama
sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama
Barang siapa mengenal yang empat
maka ia itulah orang makrifat

Barang siapa mengenal Allah
suruh dan tegahnya tiada ia menyalah
Barang siapa mengenal diri
maka telah mengenal akan Tuhan yang bahari

Barang siapa mengenal dunia
tahulah ia barang yang terpedaya
Barang siapa mengenal akhirat
tahulah ia dunia melarat


-Raja Ali Haji-

Khamis, 28 April 2011

anakmu ini

ibu dan ayah
redhai pemergian anakmu ini
dalam usia kecil begini

kelak anakmu ini
akan menjunjung gelas-gelas minuman
buat menghilang kehausanmu
di padang masyar nanti

anakmu ini
akan memohon kepada tuhan
agar dapat melangkah bersama-sama
ke syurga
memimpin tangan ibu dan ayah

ibu dan ayah
izinkan anakmu ini
pergi dengan aman
dengan senyuman
menemui ilahi

Al-Fatihah untuk Muhammad Imran Luqman..

Sabtu, 9 April 2011

teori lelaki jatuh

Teori ini difikirkan. Diguna dan dipakaikan. Mengalih kebenaran. Mencipta kebarangkalian. Menduga kemungkinan. Sindrom ini ditabur. Dosa pahala bercampur. Maruah agama digugur. Lakonan orang samaran. Kelangsungan orang suapan

-Malim Muda-

Jumaat, 1 April 2011

selamatkan pendosa itu

Sebelum bahayanya merebak lagi. Sebelum akhlaknya rosak mati. Sebelum jalannya bengkok lari. Hampiri dia. Bantu dia. Tunjukkan dia. Biar bertatih sebutannya. Biar merangkak sembahnya. Agar tidak terpesong kembali. Kembali menginsafi diri. Hidup sebenar insan yang abdi..



-Malim Muda-

Selasa, 22 Mac 2011

temasya pendeta

berita tiba muncul
yang melihat semua terjojol
yang mencarut semua terpacul

temasya itu dirakam
aksi haram, khadamnya tajam

tanpa periksa, tanpa sedar
ugutan rahsia akan dibongkar
tempoh suku bulan diberi kadar

jika berundur,
tuduhan dilebur, tarikan digugur

jika gagal
tiada aral, tiada pasal
persembahan ditabal
pertunjukan digubal

serata dilayang
seluruh ditayang
khabar digebang dan diganyang

ini nasib orang ratib
sumpit tak ikut tertib
asal sempit nafsu dicubit
mata tak terkedip
sedap tak terjerit

maruah diketawa
daerah malu rasa
gelabah tak terkata
darah pucat warna

perangkap dipasang umpan
jerangkap jalang melayan

pelengkap kandang berbayang
ditangkap ranjang berbatang

sepandai-pandai pendeta menari
akhirnya terjatuh, terdudukdi tanah tempatnya berdiri..



-Malim Muda-

Jumaat, 4 Mac 2011

pelakon pentas

pelakonnya beraksi kembali
mementas cerita berulang kali
watak menyerupai dunia sendiri

menghukum orang jalanan
tidak orang atasan
berdamping orang beradaan
bertuding musuh berlawan

bernafsu pada pangkat kuasa
beradu dengan hukum dunia
menipu untuk terus hidup
mengampu untuk terus duduk

hingga wataknya berganti suatu hari
yang masanya tidak pasti lagi...


-Malim Muda-

Jumaat, 25 Februari 2011

siapakah lelaki itu

matanya selalu memerhatikan
perasaannya selalu bersangkakakan
padanya semua mesti diwajibkan

dia suka berbicara
bijak sekali menyusun angggota

ia tahu semua lakonan
yang semuanya hanya kepuraan

dalam peluang, ruang
ia bijak mengatur kesempatan agar dapat mencipta keadaan

terlalu subjektif untuk dibicarakan
terlalu sensitif untuk diperkatakan

hanya masa dan takdir akan menentukan..



-Malim Muda-

Jumaat, 11 Februari 2011

hatinya kecil

hatinya azali begitu
hatinya menurut membantu

hatinya senyum ketawa
hatinya ria suka

kerana kekurangan diri
hatinya sukar difahami
tetapi hatinya mudah mendekati
dengan kelebihan hati

sikap hatinya berbudi
pergaulan hatinya berhati
mata hatinya memerhati

tetapi hatinya penuh rahsia
hatinya sering bersangka
hatinya selalu berteka

hatinya itu orang biasa
hatinya itu kecil hatinya..



-Malim Muda-

Selasa, 1 Februari 2011

ahli mesyuarat tingkap

mesyuarat itu makin kerap
yang cepat jadi lambat
yang berkarat akan meningkat
yang berhajat akan berlipat

ahli darat mengumpan jerangkap
ahli berjabat makan perangkap

ralat itu semakin melarat
tanggung itu banyak kali direhat
jawab itu sudah semakin berat

bila yang lain sudah terikat
si ketua bebas melompat
hukum dunia rezeki lebat
hukum tuhan belum dijawab..


-Malim Muda-

Rabu, 19 Januari 2011

pengorbanan dalam perjuangan

kesalahan itu tidak disengajakan
kesalahan itu pertama kali dilakukan
kesalahan itu semata-mata dakwaan

ianya hanya satu kebetulan
ianya seperti ditakdirkan

ketidakupayaan itu yang menyebabkan
kelemahan itu yang menjadikan
kealpaan itu yang melekakan
tetapi itu tidak diambil pertimbangan
jauh sekali perhatian
langsung tidak dirujukkan

demi kepentingan, lantas hukuman dijatuhkan
atas perlakuan yang bukan dilakukan
atas kesilapan yang benar kejadian

dasarnya ketidakpercayaan
sifatnya hilang kewarasan
maruahnya hilang kemanusiaan
keadilan yang tidak pernah diamalkan

krisis ini akan terus berpanjangan
perang dingin ini akan terus berterusan
hingga tiada hujung garisan

hanya yang berani akan membuat perhitungan
hanya yang berdiri akan membuat pendedahan
untuk sebuah pengorbanan dalam perjuangan



-Malim Muda-

Khamis, 13 Januari 2011

si tuan perintah

kuasa itu dalam pengaruhnya
kuasa itu hak milik kekalnya

kefikirannya tidak diduga
kearahannya luar berbeza

ketuanannya berpurnama
kemasyhurannya bermaharaja
kenamaannya tersebar merata

hati nafsunya merelung jiwa
niatnya bersangka kala dan berprasangka

siapa mendamping, ia dimata
siapa membanting, ia dibela

siapa menggeleng, ia dicela
siapa menjeling, ia dikata

ramai terguris sedikit luka
bila ganjaran tak seberapa
penat lelah tidak diharga

jika dibiar lama, nahas jawabnya
yang amarah terpendam
akan timbul amukan jiwa

yang berdendam akan mengundang segala celaka..



-Malim Muda-