Selasa, 22 Disember 2009

Si duga-duga

masanya datang lagi
jam nya bergerak kembali

menjadi tamu dalam perutusan
bertemu mata dalam perundingan

berdebar jantung mengunci hati
risau bercampur gaul
takut menguasai diri

mungkin dia berjenis orangnya
mungkin dia berkira insannya

tetapi selagi punya kudrat
akan dipegang jadi makrifat

jangan difikir mudah
yang senang boleh jadi susah
mungkin si duga-duga sudah berubah..



-Malim Muda-

Rabu, 16 Disember 2009

Suara gelap

suara gelap
berbisik-bisik perlahan
meratib dalam kejahilan

asalnya semakhluk
dalam hati ia duduk
dalam gelap ia bersembunyi
memencilkan diri

dalam diam ia bersuara
supaya tuannya menurut kata
mengikut kuasa

suara itu suara keramat
pegangan mesti kuat
kalau lemah akan terikat

gelap itu kawannya
terang itu musuhnya
suara itu suara diri
suara itu suara hati




-Malim Muda-

Selasa, 8 Disember 2009

Kertas menari

kertas itu menari lagi
bila dibuka gelanggang nanti
peluang datang hanya sekali
lepas atau biar ia berganti

kertas itu tidak pernah sunyi
dari tangan yang kencing berdiri
dan kaki yang kencing berlari

yang diberi cukupan
sedarlah kamu wahai insan
ini hanya permainan
bukan betul hanya cubaan

yang diberi terlebih makan
boleh senyum sendirian
menanti habuan
di hujung jalan

berpuluh orang mencuba
lima orang yag berjaya
beratus orang usaha
tiga orang gembira

mereka bukannya siapa
mereka golongan ada-ada



-Malim Muda-

Rabu, 2 Disember 2009

Barang kuat

barang kuat
barang hebat
memang nikmat

barang kuat
siapa yang ada boleh sebat
sampai masuk pun tak muat

orang barat orang selat
orang darat orang karat
sanggup bertikam jerat
merebut barang kuat

barang kuat
besarnya cepat
bagai ikan sepat

barang kuat
panjangnya berat
boleh mengerat

bukannya apa
barang itu barang lama
bila tidak kena pada tempatnya
satu sen pun tidak berguna



-Malim Muda-