Rabu, 28 Oktober 2009

Sidangan dua

hari bulan ditentukan
sidang harus diteruskan
amanat satu perjuangan

dalam diam ada persulitan
berpakat demo kumpulan
arahan bangsa golongan

si polan ini rupanya ketua
melari kepala segala
menjadi pengkhianat bangsa

bersorak makhluk berkaki
yang digantung berlari-lari
yang bersalah tidak puas hati
sambil melompat menunjuk gigi

menggila kuasa rampas
mencari dosa terlepas
menuntut isi dikupas

yang bertenggek bangun duduk
yang berdiri terbongkok- bongkok
gegas ke hulu keluar, lari ke hilir masuk

sang pendeta punya angkara
sang algojo berpura rasa
bawaan orang-orang sebangsa

sudahnya bangsa kita yang kepingin
sedangkan bangsa lain tersenyum dingin




-Malim Muda-

Selasa, 20 Oktober 2009

izzat fahmi

lahirmu bawa cahaya
sinar penawar jiwa
kuasa dari yang esa

anugerahmu satu amanah
membelah gagah yang tiada sudah

ciptaanmu satu nikmat
menyambung umat yang sudah terikat

kemuliaan mu yang terpuji
kekuatan islam menyuci kefahaman yang erti

tidur lah... kerana perjalananmu masih panjang
lena lah.. kerana rehatmu masih senggang

biar didendangkan alunan agar indah mimpi mu
biar dikasih sayangkan agar sudah anganmu..



-Malim Muda-

Rabu, 7 Oktober 2009

Dongeng ayam sabung

kok ! kok !
ayam itu berkokok
tinggal di pokok
tiap-tiap lekuk

kok ! kok !
itu ayam galang
taji kuku panjang
kepak luas meregang
bulu balik telanjang

kok ! kok !
kaisnya menunjuk jantan
paruhnya semerah baran
galaknya merabung sawan

jampi serapah ditiup
roh semangat disebut
kalah menang direbut

arak menurun hingga sesak
gelanggang terbuka berpihak
jangan sampai mati anak

tetapi bukankah ayam itu ayam lambung
bukannnya ayam sabung
jauh sekali ayam barung



-Malim Muda-

Khamis, 1 Oktober 2009

Nafsu Rahsia

nafsu itu bersahaja
mengerti segala
mencongak prasangka

seolahnya ia tahu
sebelum mendahulu
nafas seorang pelaku

jelmaan kala
mengatur niat
serakah tersirat

kuasanya hitam
bila hati malam
setaranya putih
bila hati jernih

terpulang empunya diri
jangan biar menguasai
jangan biar bersembunyi

biarlah bermusuh dengan seteru
asal jangan dengan guru
kelak hidup haru biru

kerana nafsu itu tidak boleh dipercaya
kerana nafsu itu tidak boleh diduga
kerana nafsu itu nafsu rahsia...



-Malim Muda-