Jumaat, 30 Januari 2009

Sekutu Tapi Seteru

Peliknya mereka itu
Bersekutu sama berguru
Tetap saling berseteru

Dendam dipendam merindu haram
Dengki dihati berlaga taji
Padang pertempuran dinanti

Tak sehaluan lain tujuan
Tak serapat lain pendapat
Tak sebulu lain sepatu

Mereka sudah lupa bahasa dahulu

Bersedia sebelum binasa
Berhati sebelum mati
Bersatu teguh sebelum roboh

Kekayaan dijulang maruah dijerang

Sebangsa sedarah seagama
Tetapi bersengketa sesama

Pusingan akan berlaku sekali lagi
Bila bangsa tidak bersatu hati



-Malim Muda-

Khamis, 29 Januari 2009

Ini Bukan Demokrasi Kita

video

Sampai kapankah kematian
Ibu tua dan anak kecil
Nyawa yang menjadi korban
Atas nama demokrasi

Sampai kapankah kehancuran
Tamadun yang dibanggakan
Darah merah jadi saksi
Kehebatan demokrasi

Apabila demokrasi datang
Bersama laskar dan senjata perang
Musnah lah kedamaian
Musnah lah keindahan
Yang tinggal kesengsaraan

Budaya pun bertukar ganti
Moral pun rosak dan keji
Minda dibuai ilusi
Yang bernama demokrasi


-Sohami Mior Hassan-

Rabu, 28 Januari 2009

Stesen Palsu

Di satu stesen api
Tempat mati keretapi
Pusat sehenti

Ada orang yang menunggu buntu
Ada orang yang merenung termenung

Ada orang yang mengikut takut
Ada orang yang menangguh sungguh

Orang-orang jadi lakonan
Seribu kata penuh kiasan
Petikan gitar buat mainan

Sebuah beg jadi ikutan
Sepasang tiket jadi panduan

Ada orang selesa duduk
Ada orang diam bertawaduk

Ada orang menongkat berdiri
Ada orang baring diri

Jarum jam bergerak dua belas jam
Yang sedar mata menajam
Yang tak sedar terus memejam

Semua ini hanya palsu
Sedikit yang sudah tahu
Yang lain masih tidak tahu
Menunggu keretapi yang satu



-Malim Muda-

Jumaat, 23 Januari 2009

Obama

Dari anak mata
Melihat presiden Amerika
Melihat Barrack Obama

Adakah ia sekadar boneka?
Hanya menutup mata
Hasil ‘kerja tangan’ mereka

Adakah ia mengikut ketua?
Mainan proksi kuasa
Paksi yahudi negara

Adakah ia boleh diharap?
Boleh selesai masalah yang kerap
Atau simpan sahaja buat perap

Adakah ia boleh mengubah?
Mana satu yang ditadah
Sembah atau rebah

Adakah ia memang bijak?
Memajak sambil memijak
Supaya Amerika boleh lonjak

Harapan dunia tinggal hayat
Dikala tali persahabatan Islam Barat
Sudah putus dua kerat

Kita mengharap perubahan
Anggapan atau angan
Kerana impian itu tidak pernah menjadi kenyataan



-Malim Muda-

Khamis, 22 Januari 2009

Berita Kepada Kawan

video

Perjalanan ini
Terasa sangat menyedihkan
Sayang engkau tak duduk
Disampingku kawan

Banyak cerita
Yang mestinya kau saksikan
Di tanah kering bebatuan

Tubuhku tergoncang
Dihempas batu jalanan
Hati tergetar menatap
Kering rerumputan

Perjalanan ini pun
Seperti jadi saksi
Gembala kecil
Menangis sedih

Kawan cuba dengar apa jawabnya
Ketika di ku tanya mengapa
Bapak ibunya telah lama mati
Ditelan bencana tanah ini

Sesampainya di laut
Ku khabarkan semuanya
Kepada karang kepada ombak
Kepada matahari

Tetapi semua diam
Tetapi semua bisu
Tinggal aku sendiri
Terpaku menatap langit

Barangkali di sana ada jawabnya
Mengapa di tanahku terjadi bencana

Mungkin Tuhan mulai bosan
Melihat tingkah kita
Yang selalu salah dan bangga
Dengan dosa-dosa

Atau alam mulai enggan
Bersahabat dengan kita
Cuba kita bertanya pada
Rumput yang bergoyang


-Ebiet G. Ade-

Rabu, 21 Januari 2009

Berhormat vs Berkhidmat

Yang berhormat duduk bersahaja
Yang berkhidmat rajin bekerja

Yang berhormat gaya berzaman
Yang berkhidmat gerakan iman

Yang berhormat bersaing handal
Yang berkhidmat sendiri amal

Yang berhormat menabur janji
Yang berkhidmat menabur budi

Yang berhormat mengejar pangkat
Yang berkhidmat menadah berkat

Yang berhormat memburu kuasa
Yang berkhidmat bersyukur sentiasa

Dan itulah roda permainannya
Setiap masa setiap ketika

Sepandai-pandai yang berhormat
Akhirnya kalah penamat

Sekecil-kecil yang berkhidmat
Akhinya menang cermat



-Malim Muda-

Isnin, 19 Januari 2009

Ada masanya..

Ada kalanya..

Kita terpaksa menipu untuk menegakkkan kebenaran jitu
Kita terpaksa mencarut untuk mematahkan yang karut

Kita terpaksa berpura-pura untuk melindungi diri kita
Kita terpaksa berahsia untuk menyembunyi harta kita

Ada tikanya..

Kita terpaksa mementingkan diri untuk dapat berdiri
Kita terpaksa mencuri untuk dapat berlari

Kita terpaksa memijak supaya dapat kita lonjak
Kita terpaksa mati demi untuk selamat anak sendiri

Ada waktunya..

Kita terpaksa takut semasa kita berani
Kita terpaksa berundur semasa kita kendur
Kita terpaksa berdendam demi maruah yang dipadam

Dan ada masanya..

Kita terpaksa melakukan dosa
Untuk mendapatkan sedikit pahala..



-Malim Muda-

Jumaat, 16 Januari 2009

Tuan Kapak, Hamba Parang

Si tua mengarang
Hendak berparang
Yang lain mengasah
Kapak mengepak

Jari tunjuk jadi suruhan
Jari ibu buat ukuran
Terukir ayat mati
Sanggup mati demi anak sendiri

Di takuti di geruni
Dahulu dan kini
Getarannya sekelip
Kilasan berbelit

Senjata halal haram
Dibayangi sesiang semalam

Memang kuat!
Belikat timbul urat
Sendi tulang berat

Larang ada pantang
Makan tak boleh panjang
Langgar, nahas menjelang



-Malim Muda-

Rabu, 14 Januari 2009

Jalan seribu sesat

Tiba-tiba sahaja langkahku terhenti
Akalku berfikir tertutup mati
Kakiku kaku, lidahku kelu

Baru ku sedar kenapa ku begitu
Aku sekarang berada dua simpang
Pandangan sayup jauh melapang

Aku mengatur pernafasan
Bergerak perlahan berkira fikiran
Yang mana jadi pilihan

Jalan itu lah jalan hari ini
Jalan itu yang membuatkan orang sesat selama ini

Mungkin ada erti kehidupan sebenar
Jalan kehidupan jalan ikutan
Jalan nikmat penuh khianat
Jalan duniawi jalan mati

Jalan itu bukan jalan lurus
Jalan itu bukan turus

Apakah yang ada disebaliknya?
Hingga orang berpusu-pusu melihatnya..



-Malim Muda-

Selasa, 13 Januari 2009

Sindiket Komplot

Ada sindiket berpiket
Bikin episod plot
Merancang senyap
Membunuh lenyap

Siapa yang jadi upahan?
Siapa mangsa jadi korban?
Konspirasi dicanang
Kontroversi senang lenang

Ha... Ha…Ha…
Gelak tawa mereka
Jalan cerita gembira

Yang mangsa kambing hitam
Sudah menjadi resam

Yang kuat sang badak
Menggempur meledak

Yang elit duduk bersila
Itulah harimau tua

Ada alat diperalat
Ada cerita direka
Sajian hamba

Cerah berjaga
Gelap siap siaga
Kalau terbongkar, naya
Kalau pecah, celaka

Si Tua hanya menggeleng kepala..



-Malim Muda-

Sabtu, 10 Januari 2009

Sahabat Gua

video

Berapa banyak bintang di langit
Engkau hafali ya Sahibul Kahfi
Tak akan sama bintang yang satu ini
Yang kau kenali di dalam hati

Terang walaupun dia tersembunyi
Cemburukan matahari
Cahaya berseri-seri
Jika engkau kenali

Kita ditakdirkan lari
Jauh dari kezaliman
Terperangkap dalam gua ini
Hingga masa Tuhan tunjuk kebenaran

Mari ikut rentak ku
Rentak tari dulu-dulu
Lagu marhaen sederhana
Disini tiada duka
Terima saja dengan redha

Kerana pegangan
Engkau hadapi
Dugaan ini ya Sahibul Kahfi

Kamil !
Kalimah kebenaran telah zahir
Tak usah engkau ragukan
Kita datang dari dia
Kita pulang padaNya

Banyak ayat mujarobat
Bisa menawarkan luka
Namun penyakit jiwa ini
Tak bisa ditawan tanpa penyerahan



-M.Nasir-

Jumaat, 9 Januari 2009

Mayat Berdengkur

Ada manusia iras mayat
Hidupnya berkiblat
Berjalan kelibat
Menuju habitat

Hidupnya sia-sia
Lelap pejam mata
Bagai orang buta

Hmmm……..

Dalam jaga kau tidur
Berani tapi suka berundur

Dalam tidur kau jaga
Berkuasa tapi tak pandai berlaga

Waktu tidur kau berdengkur
Belum lawan sudah tersungkur

Bila tak boleh berdiri
Hidup kau bagai mati

Bila tak boleh duduk
Kau merangkak meranduk

Hairannya..
Ada yang kasihan semula..
Ada yang berkata tidak apa..
Ada yang kembali suka..

Mengapa?
Kenapa?

Dunia ini sudah terbalik
Pelik.. ..Pelik..



-Malim Muda-

Khamis, 8 Januari 2009

Zion Nion II

Kau bawa perang
Puak bersekutu kau tatang
Puak musuh kau tentang

Kau hulur tempur
Ramai mati kapur
Mayat berterabur

Kau pengecut bila menyerang orang takut
Kau dayus bila membunuh orang kurus
Kau tamak bila merampas nyawa anak

Kau sungguh berkuasa
Hingga lain takut bersuara
Campur tangan tidak mengena

Siapa di belakang?
Siapa jadi dalang?
Siapa perancang?

Proksi? Kongsi? Paksi?

Angkara Negara Agung
Senyap menyokong mendukung

Sumpah janji sumpah kalam
Selagi ada tentera kejam
Selagi itulah akan mati di tangan islam

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!



-Malim Muda-

Rabu, 7 Januari 2009

Penjajah Otak

Bila siang menjelma
Malam turut tiba
Ada orang mula bekerja

Datang kau tak berbilang
Bila kau sendiri tak hilang
Kaulah manusia petualang

Kau merancang sesuatu
Caturan kau mendapat restu
Berkat nawaitu

Kau datang menyilau
Suara kau berkalau
Mencari lagi pulau

Mereka ini suka bercerita
Dalam diam mengatur derita
Untuk hidup saudara sekata

Ahh! Semuanya terikut
Ruang lingkup kau tutup
Ramai sangkut jadi pengikut

Ahh! Semuanya tertipu
Percaya sahaja begitu
Tidak fikir dahulu

Licik dan pintar
Warna hilang pudar
Tak ramai yang sedar

Tapi ada pengikut berani mati
Semangat tinggi subur di hati
Berpatah arang melawan kembali



-Malim Muda-

Selasa, 6 Januari 2009

Kayuhan Menjerit

Mengayuh mengereng
Berpusing menyinsing
Peluh mengering

Muda belia turut serta
Buat reformasi terbuka
Sandiwara semata

Berarak tak terkawal
Berlagak tunjuk segak
Menunjuk ikut telunjuk

Apa yang diperjuangkan?
Buat apa dilayan..

Apa kehendak?
Menjerit meneriak..

Apa yang mahu diubah?
Bersatu atau roboh rebah

Kumpulan hitam menjadi punca
Tukang karut buat cerita
Pendeta jadi ketua

Menanam benih angkara
Menyiram api bencana
Menyambung hikayat purba

Berdenggung macam lalat
Berfikir macam barat
Penuh muslihat

Mereka hanya bangsa jalanan
Menyalak hanya lakonan
Memandang kiri kanan

Membawa kempen atau mengikut kata pemimpin?



-Malim Muda-

Isnin, 5 Januari 2009

Blog Goblok

Ada blog goblok
Menyorok mengaruk

Mencerca menghina
Hina nabi hina agama
Mencela menghela
Memang gila

Putar berkata
Bertopeng lain muka
Berselindung di balik rupa

Tetapi takut bersua
Sebab pendusta rasa
Penakut pengecut rupanya

Bongkak mendada sombong mencela
Dua menjelma, riak nyata serasa

Adakah agama kau sempurna?
Adakah pegangan kau mulia?

Adakah budaya kau begini?
Adakah ajaran kau mengikut kata hati?

Kau tidak takut?
Balasan akan buat kau melukut
Menjerut hingga kau melutut

Sekarang kau boleh tertawa
Sekarang kau boleh gembira

Nanti akan tiba masanya
Hukuman tuhan turun menimpa
Rasa menyesal tidak bermakna
Kau akan terkena juga…



-Malim Muda-

Jumaat, 2 Januari 2009

Kosong Sembilan

Jumaat ini
Sudah kosong sembilan
Tahun yang penuh deruan
Tahun yang penuh seruan

Jangan mengenang tahun lalu
Tahun berduka penuh sembilu
Penuh biru penuh haru

Tahun baru buku baru
Semangat berseru ikatan juru
Azam menderu angin lalu

Henti sengketa sama suku
Bersama menuntut berguru
Menuju jalan yang satu

Tinggalkan yang busuk, buang yang susuk
Tinggalkan yang keruh, buang yang luruh
Tinggalkan yang buruk, buang yang keruk

Ambil yang jernih, tunas dan benih
Ambil yang suci, kotor dan cuci
Ambil yang bersih, susun dan sisih

Tanam azam semai iltizam
Sebati keringat pupuk semangat
Tetap di hati perjuangan diri

Kelak pasti dapat berdiri
Atas tanah tumpah pertiwi
Membina mercu bangsa sendiri



-Malim Muda-

*Selamat Tahun Baru 2009