Khamis, 28 Ogos 2008

Perjalanan Hidup

Aku yang masih di perjalanan hidup ini
Begitu lama berlegar di persimpangan dunia
Menempuh jarak dan titian
Rimba dan lautan
Mencari sesuatu yang abadi

Aku yang masih di perhentian hidup ini
Begitu jauh mengembara ke serata hidup ini
Mengejar siang dan malam
Surut dan pasang
Mencari sesuatu kebebasan
Mencari sesuatu kedamaian

Di mana berakhirnya
Perjalananku ini
Esok dan lusa bukan miliku
Oh Tuhanku
Lindungilah hambamu yang hina ini
Aku setia hanya padamu
Oh Tuhanku


-Ramli Sarip-

Rabu, 27 Ogos 2008

Fitnah yang berleluasa


Dewasa ini terdapat dikalangan manusia menyalah gunakan teknologi bagi menyebarkan berita. Fitnah ditabur dengan sewenang-wenangnya menggunakan teknologi moden mengakibatkan manusia hidup dalam keadaan serba salah, curiga mencurigai, berbalah dan bermusuhan dan mungkin juga akan ada nyawa terkorban kerana kemudahan yang disalah guna

Kita boleh lihat pimpinan negara sekarang ini yang sedang berperang antara satu sama lain. Semua berita yang diterima hendaklah kita perhatikan mana sumbernya supaya kita tidak tersalah menghukum atau menzalimi orang tidak bersalah.

Allah menyuruh kita berlaku adil kepada semua orang bukan sahaja dari kalangan orang Islam malahan juga dari kalangan orang bukan Islam. Tidak kira didalam peperangan atau diluar peperangan kerana bersikap adil ini adalah akhlak umat Islam. Allah amat benci kepada kezaliman.

Kita hendaklah menjauhkan diri dari segala fitnah yang sedang berlegar di dalam negara kita sekarang ini. Selamatkanlah diri kita dari api neraka dengan berdiam diri dengan fitnah-fitnah ini kerana berdiam diri itu adalah lebih baik daripada kita turut serta dalam keadaan kita tidak mengetahui perkara sebenar. Saya yakin dan percaya bahawa fitnah ini terjadi hasil dari kezaliman manusia iaitu tidak meletakkan perkara itu ditempat yang sepatutnya

Kita sama-sama mendoakan agar Allah melindungi kita dari fitnah yang sedang melanda ini. Takutkanlah Allah sesungguhnya itulah taqwa yang akan membawa keselamatan dalam hidup kita di dunia dan di akhirat. Janganlah kita mati melainkan dalam keadaan bertaqwa. Wallahua’lam


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٍ۬ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَـٰلَةٍ۬ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَـٰدِمِينَ

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”
(Surah al-Hujuraat, ayat 6)



-Malim Muda-

Selasa, 26 Ogos 2008

Melayu hilang, islam pupus di tanahair ku

Aku masih duduk termenung...
Fikiran berlari jauh...
Aku teringatkan sesuatu.
Teringatkan keadaan masyarakat sekeliling.
Teringatkan tentang sikap dan hati-jiwa bangsa melayu islam di Malaysia
Dan merenung sikap hati jiwanya sendiri...!

Aku terkenang.....
Di Malaysia, sudah tidak ada seorang bangsa melayu islam yang bersemangat patriot!
Di Malaysia, sudah tidak ada lagi seorang melayu islam pahlawan pembela mayarakat yang berjiwa luhur dan berjiwa rakyat!
Di Malaysia, sudah tidak ada lagi manusia melayu islam yang berani berdiri tegak melaungkan kebenaran dan membela keadilan!
Di Malaysia, sudah tidak ada lagi manusia-manusia melayu islam yang berani berkorban masa, tenaga, harta dan jiwanya demi kebajikan masyarakatnya dan seluruh manusia sepanjang hayat hidupnya!

Di Malaysia, sudah tidak ada lagi seorang manusia yang bersemangat seperti Nabi Muhammad SAW, Sayidina Abu bakar, Umar, Usman dan Ali...R.A.!
Sudah tidak ada lagi yang bersemangat berani dan berjiwa seperti Khaleed al Waleed!
Tidak ada lagi yang bersemangat seperti Mahatma Ghandi!
Seperti Ibn Taimiyah! Seperti Muhammad Abduh!
Sudah tidak ada lagi...
Sudah tidak ada lagi....!

Yang ada ialah ....
Orang-orang seperti Karun, Firaun, Ghengis Khan!,
Yang bertopengkan pakaian besih, pejabat dan perniagaan, jawatan dan kedudukan serta ilmu pengetahuan kepandaian!
Yang ada ialah manusia yang lemah hati-jiwa kemanusiannya!
Yang ada ialah manusia yang bacul semangat kemasyarakatannya!
Yang ada ialah manusia yang sibuk mengejar kesenangan dan kemewahan hidup!
Yang pandai berpura-pura, berbudi bahasa dan berlagak baik!
Yang ada ialah manusia yang sibuk mementingkan diri mereka sendiri dan keselamatan diri mereka sendiri!
Yang ada ialah manusia yang pandai berpura-pura!
Yang ada ialah manusia yang gila harta dan kesenangan hidup!
Yang ada ialah manusia yang gila mahu hidup tidak mahu mati-mati!
Yang ada ialah manusia yang tidak pedulikan masyaraktnya ....
Yang hanya pedulikan kepentingan diri mereka dan kejayaan diri mereka sendiri sahaja
Yang ada hanyalah pengikut tasawuf yang berhati bacul!
Yang ada hanyalah orang tawaduk - warak yang sudah pekak telinganya dari mendengar tentang kepincangan jiwa masyarakat islamnya!
Yang ada hanyalah manusia yang pandai berdalih untuk menyerah kepada nasib dan takdirnya!
Yang ada hanyalah orang yang busuk hati jiwanya!
Yang ada hanyalah orang yang pandai mengunakan agama untuk kepentingan wang dan kesenangan hidupnya!

Aku terus termenung....!
Melihat kejatuhan hati budi dan semangat jiwa luhur..
umat bangsa melayu islam Malaysianya sendiri!

Kemudian aku mengeleng2kan kepalanya.
Aku sedar...pada satu hari nanti...
Aku dan semua manusia pasti akan mati!
Kerana ...
Tiada sesiapa pun yang dapat hidup kekal didunia ini selama-lamanya!
Masing-masing akan mati dengan membawa sikap dan hati-jiwa mereka sendiri untuk menemui Tuhannya yang Esa!


“Kesenangan di dunia ini hanya sementara dan akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertakwa dan Kami tidak akan anianya sedikit pun.”
(Surah an Nisa’: Ayat 77)

Isnin, 25 Ogos 2008

51 Tahun negaraku merdeka




Rupa-rupanya
Sudah separuh abad lamanya
Bangsaku merdeka
Bumi tidak terjajah lagi
Fisikalnya cuma……

Jadinya selama 51 tahun jugalah
Bangsaku menjadi tuan di bumi sendiri
Penentu segala gerak hala cara
Pemutus kata setiap bicara

Setengah abad jugalah jadinya
Melayu memacu genderang kecemerlangan
Nafiri budaya bangsa ditiupkan
Mengorak pencak langkah seribu gertak

Namun begitu kenapa agaknya
Kita punya negara
Punya pemimpin punya kuasa
Tapi bagai itik kehausan dikolam
Ayam kebuluran dikepok padi

Aduhai melayu
Yang punya pemimpin
Punya negara
Punya kuasa
Punya kekayaan
Tapi mengemis di bumi sendiri…

Selasa, 19 Ogos 2008

Pemimpin yang hipokrit

Seorang pemimpin sepatutnya bukan seorang aktor yang dapat melakonkan imej yang sangat baik di depan orang ramai tetapi disebalik tabir dia ada satu watak yang amat berlainan.

Mengapakah segelintir rakyat terlalu taksub dengan pemimpin sebegini? Ini kerana mereka hanya mengenali perjuangan Islam daripada populariti pemimpin ini dan menganggap ketokohannya begitu hebat sekali seolah-olah gerakan Islam mustahil digerakkan tanpanya.

Pemimpin ini hanya dilihat dari jauh oleh orang ramai dan tiada sesiapa pun yang mengenali hati budinya melainkan Allah SWT dan dirinya sendiri. Kalau benar memperjuangkan Islam semua rakyat perlu ingat dan mengambil konteks Islam dari segi hubungan antara pemerintah dan rakyat. Rakyat wajib membantu kerajaan dalam usaha membangunkan negara.

Bagaimanapun rakyat haruslah berdoa agar negara ini terus aman dan perasaan terlalu taksub sepatutnya dibuang dan dihindarkan demi kepentingan Melayu khasnya dan negara amnya dan bukannya kerana individu.

Pilihlah pemimpin yang benar-benar layak dan bukannya yang hanya tahu menyalak menyalahkan orang lain dan yang terlalu tertonjol ketamakan dan dahaganya kepada pangkat, darjat serta kedudukan sahaja.

Biarlah kita bergaduh dan menangis hari ini daripada menangis yang tidak berkesudahan di hari muka. Jadi? berhati hatilah dengan manusia yang saperti “talam dua muka” “bermuka muka”

Isnin, 18 Ogos 2008

Orang Melayu Hari Ini

Punca-punca orang melayu menjadi lemah:

1. Perpaduan di kalangan masyarakat Melayu masih lagi berlaku kepincangan disebabkan oleh ideologi politik yang berbeza, telah memecahbelahkan masyarakat Melayu ke dalam kelompok yang taksub politik. Lupakah kita pada peribahasa “bersatu kita teguh bercerai kita roboh”. Dalam hal ini jika orang Melayu masih lagi berpuak-puak, kemajuan yang ingin dicapai akan lambat lagi untuk berlaku.

2. Irihati yang berpanjangan. Masalah irihati juga sukar dibuang dalam diri orang Melayu pada hari ini. Keadaan ini dapat dilihat di semua sektor sama ada sektor swasta ataupun kerajaan. Sama ada yang berpangkat atau orang bawahan. Semuanya sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan yang lain.

3. Semangat patriotisme atau semangat kebangsaan yang semakin luntur dalam diri orang Melayu. Semangat kebangsaan ini perlu ada dalam diri setiap individu yang mengaku dirinya sebagai warganegara Malaysia. Perlu disedari tanpa semangat sayangkan negara yang kuat, negara ini akan runtuh bila-bila masa. Bagi mereka perjuangan menentang penjajah sudah tamat, komunis sudah lari, negara dah maju, nak buat apa lagi? Pemikiran sebegini perlu dibuang dalam diri setiap generasi baru Melayu pada hari ini kerana setiap individu itu ada tanggungjawab atau amanah yang perlu dipikul.

4. Dari segi penguasaan ilmu juga, orang Melayu seakan ditinggalkan oleh orang bukan Melayu. Pencapaian pelajar bukan Melayu paling tinggi jika dibandingkan pelajar Melayu. Mengapa hal ini terjadi? Rasanya warga universiti sudah sedia maklum akan hal ini. Mengapa pelajar Melayu sukar untuk menguasai sesuatu ilmu? Di mana silapnya?

5. Dari segi ekonomi, mengapakah orang Melayu masih kurang berjaya dalam sektor ekonomi?. Pelbagai langkah telah dijalankan oleh pihak kerajaan untuk membantu orang Melayu dalam bidang ekonomi agar setanding dengan bangsa lain. Budaya “Spoon Feeding” perlu dibuang dalam diri setiap orang Melayu kerana ia menggalakkan orang Melayu kurang berusaha dan menanti pihak kerajaan untuk mengubah nasib mereka.

6. Masyarakat Melayu pada hari ini juga seakan menjadi juara dalam semua gejala sosial dan pengaruh negatif dalam masyarakat Malaysia. Golongan remaja Melayu perlu sedar mereka adalah bakal pemimpin pada masa akan datang. Justeru pendidikan awal adalah penting bagi mengelakkan mereka terjebak dengan gejala-gejala negatif tersebut.

Orang Melayu juga harus sedar pegangan mereka dalam bidang politik tidak akan kekal selama-lamanya. Pihak luar sentiasa mengintai untuk “menangguk di air keruh” dan jangan disangka “air yang tenang tidak ada buaya”. Kita tidak ingin perkara ini menjadi seperti kata pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”.


Hadis Nabi s.a.w yang bermaksud:
“Sesungguhnya serigala itu (musuh-musuh Islam) hanya akan dapat memakan kambing yang tersisih dari kumpulannya.”

Sabtu, 9 Ogos 2008

Berbudi bahasa


Pepatah melayu ada menyebutkan”Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa”. Ia menjadi pedoman kepada generasi masa kini dan akan datang, agar benar-benar memahami dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Jika ia tidak diamalkan, maka runtuhlah budaya, runtuhlah bangsa.

Makna perkataan budi adalah luas,tidak terhad pada makna yang berkaitan dengan tingkah laku atau perkerti manusia sahaja,tetapi merangkumi seluruh aspek tindakan,perbuatan dan pemikiran manusia yang melahirkan,mengaturkan dan menentukan peradaban atau tamadun manusia.Istilah lain yang boleh kita samakan maknanya dengan perkataan budi adalah adab atau budaya.

Budi bahasa adalah salah satu intisari dalam aspek budi. Budaya “kurang ajar” dalam masyarakat semakin lama semakin membesar dan membarah di kalangan semua lapisan masyarakat. Ini disebabkan oleh tuntutan mengajar kebendaan,pangkat hingga menafikan nilai-nilai murni. Dengan terhakisnya nilai-nilai murni menyebabkan masyarakat luntur akhlaknya.

Mengamalkan budaya bahasa yang baik dan nilai-nilai murni mencerminkan seseorang itu memiliki budi pekerti tinggi. Setiap tuturkata akan menggambarkan perilaku seseorang itu, jika baik tutur katanya, maka akhlak dan perilakunya juga baik, sebaliknya jika buruk tutur katanya maka buruklah akhlaknya seperti kata-kata syair:

Tegak rumah kerana sendi
Runtuh sendi rumah binasa
Sendi bangsa ialah budi
Runtuh budi runtuhlah bangsa

“Bahasa melambangkan bangsa”. Kata-kata yang pernah diucapkan oleh P.Ramlee dalam filem Seniamn Bujang lapok ini perlu diterapkan dalam masyarakat melayu agar bangsa dan agama kita dapat dinilai sebagai yang terbaik. Dan kita sama-sama memikirkan cara dan kaedah untuk bangsa melayu kita kembali kepada identiti bangsa melayu yang penuh dengan budi bahasa yang tinggi dan seterusnya kita menjadi model untuk memasyarakatkan bangsa Malaysia

Yang lorek itu kendi
Yang merah itu saga
Yang cantik itu budi
Yang indah itu bahasa


“Sesungguhnya orang-orang pilihan dikalangan kamu ialah yang paling indah budi pekertinya dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berbuat baik terhadap isterinya”.
(Riwayat At-Tarmizi)

Selasa, 5 Ogos 2008

Kuasa dan kekayaan

Bila masa orang melayu tidak lagi menjaga maruahnya, hingga lupa asal usulnya, maka akan jadilah ia sebagai orang yang mementingkan kuasa dan kekayaan. Orang yang tidak mempunyai akal budi yang tinggi akan hanyut dalam kekuasaan dan kekayaan.

Begitu juga dengan segelintir pemimpin di Malaysia ini. Yang terlalu hendakkan jawatan dan kuasa. Yang terlalu gilakan wang dan kekayaan. Sudah lupa dengan tanggungjawabnya sebagai pemimpin.

Sepatutnya, pemimpin mesti memikul tanggungjawab sebagai seorang pemimpin sejati. Bukan semua orang boleh menjadi pemimpin. Yang boleh memimpin rakyat. Yang menolong rakyat kerana rakyat yang memilihnya.

Bukan semua pemimpin yang berkeadaan seperti itu, ada juga yang tidak gilakan kuasa, hanya menjalankan tanggungjawab yang dipikul dengan amanah, berdedikasi, komited, adil dan saksama. Memberi bantuan kepada sesiapa yang memerlukan.

Kita harus menyedari bahawa kita semua ini adalah 'khalifah' yang ditugaskan menjaga alam ini. Berlaku adil dengan semua orang. Bersikap jujur dan amanah. Tidak berlaku zalim kepada manusia dan saling bantu-membantu sesama insan.


"Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya"
(Surah Al-Mulk, Ayat 15)



-Malim Muda-