Isnin, 18 Ogos 2008

Orang Melayu Hari Ini

Punca-punca orang melayu menjadi lemah:

1. Perpaduan di kalangan masyarakat Melayu masih lagi berlaku kepincangan disebabkan oleh ideologi politik yang berbeza, telah memecahbelahkan masyarakat Melayu ke dalam kelompok yang taksub politik. Lupakah kita pada peribahasa “bersatu kita teguh bercerai kita roboh”. Dalam hal ini jika orang Melayu masih lagi berpuak-puak, kemajuan yang ingin dicapai akan lambat lagi untuk berlaku.

2. Irihati yang berpanjangan. Masalah irihati juga sukar dibuang dalam diri orang Melayu pada hari ini. Keadaan ini dapat dilihat di semua sektor sama ada sektor swasta ataupun kerajaan. Sama ada yang berpangkat atau orang bawahan. Semuanya sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan yang lain.

3. Semangat patriotisme atau semangat kebangsaan yang semakin luntur dalam diri orang Melayu. Semangat kebangsaan ini perlu ada dalam diri setiap individu yang mengaku dirinya sebagai warganegara Malaysia. Perlu disedari tanpa semangat sayangkan negara yang kuat, negara ini akan runtuh bila-bila masa. Bagi mereka perjuangan menentang penjajah sudah tamat, komunis sudah lari, negara dah maju, nak buat apa lagi? Pemikiran sebegini perlu dibuang dalam diri setiap generasi baru Melayu pada hari ini kerana setiap individu itu ada tanggungjawab atau amanah yang perlu dipikul.

4. Dari segi penguasaan ilmu juga, orang Melayu seakan ditinggalkan oleh orang bukan Melayu. Pencapaian pelajar bukan Melayu paling tinggi jika dibandingkan pelajar Melayu. Mengapa hal ini terjadi? Rasanya warga universiti sudah sedia maklum akan hal ini. Mengapa pelajar Melayu sukar untuk menguasai sesuatu ilmu? Di mana silapnya?

5. Dari segi ekonomi, mengapakah orang Melayu masih kurang berjaya dalam sektor ekonomi?. Pelbagai langkah telah dijalankan oleh pihak kerajaan untuk membantu orang Melayu dalam bidang ekonomi agar setanding dengan bangsa lain. Budaya “Spoon Feeding” perlu dibuang dalam diri setiap orang Melayu kerana ia menggalakkan orang Melayu kurang berusaha dan menanti pihak kerajaan untuk mengubah nasib mereka.

6. Masyarakat Melayu pada hari ini juga seakan menjadi juara dalam semua gejala sosial dan pengaruh negatif dalam masyarakat Malaysia. Golongan remaja Melayu perlu sedar mereka adalah bakal pemimpin pada masa akan datang. Justeru pendidikan awal adalah penting bagi mengelakkan mereka terjebak dengan gejala-gejala negatif tersebut.

Orang Melayu juga harus sedar pegangan mereka dalam bidang politik tidak akan kekal selama-lamanya. Pihak luar sentiasa mengintai untuk “menangguk di air keruh” dan jangan disangka “air yang tenang tidak ada buaya”. Kita tidak ingin perkara ini menjadi seperti kata pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”.


Hadis Nabi s.a.w yang bermaksud:
“Sesungguhnya serigala itu (musuh-musuh Islam) hanya akan dapat memakan kambing yang tersisih dari kumpulannya.”

0 comments: