Rabu, 27 Ogos 2008

Fitnah yang berleluasa


Dewasa ini terdapat dikalangan manusia menyalah gunakan teknologi bagi menyebarkan berita. Fitnah ditabur dengan sewenang-wenangnya menggunakan teknologi moden mengakibatkan manusia hidup dalam keadaan serba salah, curiga mencurigai, berbalah dan bermusuhan dan mungkin juga akan ada nyawa terkorban kerana kemudahan yang disalah guna

Kita boleh lihat pimpinan negara sekarang ini yang sedang berperang antara satu sama lain. Semua berita yang diterima hendaklah kita perhatikan mana sumbernya supaya kita tidak tersalah menghukum atau menzalimi orang tidak bersalah.

Allah menyuruh kita berlaku adil kepada semua orang bukan sahaja dari kalangan orang Islam malahan juga dari kalangan orang bukan Islam. Tidak kira didalam peperangan atau diluar peperangan kerana bersikap adil ini adalah akhlak umat Islam. Allah amat benci kepada kezaliman.

Kita hendaklah menjauhkan diri dari segala fitnah yang sedang berlegar di dalam negara kita sekarang ini. Selamatkanlah diri kita dari api neraka dengan berdiam diri dengan fitnah-fitnah ini kerana berdiam diri itu adalah lebih baik daripada kita turut serta dalam keadaan kita tidak mengetahui perkara sebenar. Saya yakin dan percaya bahawa fitnah ini terjadi hasil dari kezaliman manusia iaitu tidak meletakkan perkara itu ditempat yang sepatutnya

Kita sama-sama mendoakan agar Allah melindungi kita dari fitnah yang sedang melanda ini. Takutkanlah Allah sesungguhnya itulah taqwa yang akan membawa keselamatan dalam hidup kita di dunia dan di akhirat. Janganlah kita mati melainkan dalam keadaan bertaqwa. Wallahua’lam


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٍ۬ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَـٰلَةٍ۬ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَـٰدِمِينَ

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”
(Surah al-Hujuraat, ayat 6)



-Malim Muda-

0 comments: