Sabtu, 9 Ogos 2008

Berbudi bahasa


Pepatah melayu ada menyebutkan”Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa”. Ia menjadi pedoman kepada generasi masa kini dan akan datang, agar benar-benar memahami dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Jika ia tidak diamalkan, maka runtuhlah budaya, runtuhlah bangsa.

Makna perkataan budi adalah luas,tidak terhad pada makna yang berkaitan dengan tingkah laku atau perkerti manusia sahaja,tetapi merangkumi seluruh aspek tindakan,perbuatan dan pemikiran manusia yang melahirkan,mengaturkan dan menentukan peradaban atau tamadun manusia.Istilah lain yang boleh kita samakan maknanya dengan perkataan budi adalah adab atau budaya.

Budi bahasa adalah salah satu intisari dalam aspek budi. Budaya “kurang ajar” dalam masyarakat semakin lama semakin membesar dan membarah di kalangan semua lapisan masyarakat. Ini disebabkan oleh tuntutan mengajar kebendaan,pangkat hingga menafikan nilai-nilai murni. Dengan terhakisnya nilai-nilai murni menyebabkan masyarakat luntur akhlaknya.

Mengamalkan budaya bahasa yang baik dan nilai-nilai murni mencerminkan seseorang itu memiliki budi pekerti tinggi. Setiap tuturkata akan menggambarkan perilaku seseorang itu, jika baik tutur katanya, maka akhlak dan perilakunya juga baik, sebaliknya jika buruk tutur katanya maka buruklah akhlaknya seperti kata-kata syair:

Tegak rumah kerana sendi
Runtuh sendi rumah binasa
Sendi bangsa ialah budi
Runtuh budi runtuhlah bangsa

“Bahasa melambangkan bangsa”. Kata-kata yang pernah diucapkan oleh P.Ramlee dalam filem Seniamn Bujang lapok ini perlu diterapkan dalam masyarakat melayu agar bangsa dan agama kita dapat dinilai sebagai yang terbaik. Dan kita sama-sama memikirkan cara dan kaedah untuk bangsa melayu kita kembali kepada identiti bangsa melayu yang penuh dengan budi bahasa yang tinggi dan seterusnya kita menjadi model untuk memasyarakatkan bangsa Malaysia

Yang lorek itu kendi
Yang merah itu saga
Yang cantik itu budi
Yang indah itu bahasa


“Sesungguhnya orang-orang pilihan dikalangan kamu ialah yang paling indah budi pekertinya dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berbuat baik terhadap isterinya”.
(Riwayat At-Tarmizi)

0 comments: